Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

'Saya insaf dan menyesal'

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penuntut cemerlang IPTA di Johor dilepaskan dengan bon berkelakuan baik tiga tahun bercagaran RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas penuntut itu keran menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, November tahun lalu.

Dalam keputusannya, Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, berkata sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman penjara terhadap penuntut 21 tahun itu, ia seperti menutup peluangnya untuk berubah.

Beliau berkata, mahkamah juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan tertuduh serta laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nur A’minahtul Mardiah dalam keputusannya berkata bahawa beliau bersetuju perempuan itu adalah penuntut cemerlang kerana keputusan peperiksaan November lalu, menunjukkan dia memperoleh purata nilai gred 3.87 walaupun sedang hamil.

“Walaupun kamu hamil, kamu boleh memberi keutamaan kepada mana yang lebih utama.

“Sekiranya hukuman penjara diberikan kepada kamu, seolah-olah mahkamah menutup peluang untuk kamu berubah,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan kesalahan wanita itu tetapi memerintahkan dia melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan sehingga tamat tempoh bon.

Nur A’minahtul Mardiah berkata, sekiranya penuntut terbabit melanggar syarat tersebut dia akan dihadapkan semula di mahkamah untuk hukuman penjara.

Pada 22 Nov lalu, penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Acara mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang bayi itu dengan sulit.

Hukuman terhadap anak sulung lima beradik itu ditangguhkan kepada hari ini sementara menunggu laporan akhlak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah di PPR Wahyu 2, Jalan Sigu, Sentul, di sini, pada 1.16 pagi, 9 Nov lalu, mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, penuntut itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang minimum dengan alasan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya.

“Saya masih belajar dan mahu membina kehidupan yang cerah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal kerana jenayah ini melibatkan nyawa yang tidak bersalah dan ia juga jenayah yang berat.

Mengikut fakta kes, seorang anggota polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang terjumpa bayi yang dibungkus di dalam plastik berwarna putih di hadapan sebuah rumah.

Hasil siasatan mendapati bayi itu, yang masih bertali pusat bersama uri dan dalam keadaan bogel, telah meninggal dunia.

Image: 

Kuala Lumpur: Penuntut cemerlang IPTA di Johor dilepaskan dengan bon berkelakuan baik tiga tahun bercagaran RM8,000 dengan seorang penjamin.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853