Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor, Johor petang tadi atas kesalahan meminta suapan bernilai RM150,000.
Sumber SPRM berkata, suspek berusia 56 tahun itu dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor esok.
Menurutnya, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor petang tadi.
"Suspek disyaki menerima rasuah berbentuk pinjaman bernilai RM150,000 daripada seorang pemilik syarikat yang sering berurusan dengannya di Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru berkaitan permohonan dan pembayaran permit kerja mengambil tanah.
"Selain itu, suspek juga menjalankan urus niaga jual beli tanah dan menggunakan nama anaknya untuk dijadikan proksi bagi pelaburan tanah berstatus rizab Melayu bersama pemilik syarikat terbabit," katanya.
Katanya, pihaknya difahamkan suspek turut menerima keuntungan lebih kurang RM100,000 hasil urus niaga jual beli tanah itu.
Dalam pada itu, SPRM turut mengesahkan bahawa lelaki terbabit memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas lebih 30 hektar selain tanah rumah kediaman serta sebuah kediaman mewah di beberapa daerah di Johor.
Suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk mengambil tindakan berkaitan hal ehwal pejabat tanah daerah bagi memperoleh tanah selain memperoleh tanah secara pindah milik.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk dituduh esok.
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor, Johor petang tadi atas kesalahan meminta suapan bernilai RM150,000.