Kuala Lumpur: Ibu tunggal, Nor Azimah Ibrahim, 31, yang hilang di Madinah sejak 19 Disember dua tahun lalu, selamat tiba di tanah air hari ini.
Konsul Besar Malaysia di Jeddah Mohamad Ali Selamat berkata, ibu seorang anak itu ditemui di Pusat Tahanan Imigresen Makkah pada 13 Disember tahun lalu.
Nor Azimah dilaporkan hilang pada 19 Disember 2015 ketika mengerjakan umrah bersama keluarga. Pada hari kejadian Nor Azimah tidak mengikut ibu bapanya menziarah tempat bersejarah di Madinah kerana mahu menumpukan kepada ibadat di masjid sebelum dia hilang.
“Kami kemudian dimaklumkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bahawa wanita itu ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu,” Mohamad Ali dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak itu pihak konsulat berusaha membawa Nor Azimah pulang ke Malaysia, termasuk menguruskan urusan dokumentasi dan deportasi.
“Alhamdulillah, dia selamat tiba di Malaysia dengan penerbangan Malaysia Airlines MH151 pada 12 tengah hari tadi dan dijemput ibu bapanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Sementara itu di Shah Alam, keluarganya yang bersyukur dengan kepulangan anak mereka, berkata Nor Azimah perlu memberi ruang untuk menenangkan diri.
Bapanya, Ibrahim Abdul Rahman, 55, berkata dia menerima panggilan daripada ahli keluarga mengenai kepulangan anak sulung daripada 11 beradik itu, kira-kira jam 3 petang hari ini.
“Saya dan isteri (Zamhani Zakaria, 53) bergegas ke KLIA dan terus ke pejabat Jabatan Imigresen di situ.
"Ketika ditemui, Azimah dalam keadaan bingung dan berat badannya juga susut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kebun di sini, hari ini.
Menurutnya, dia sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada Konsulat dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberikan kerjasama serta maklumat mengenai kehilangan Azimah sejak 19 Disember 2015.
Kata Ibrahim, dia belum mengetahui kisah sebenar di sebalik kehilangan itu dan memberikan anaknya itu tempoh untuk menenangkan diri.
Kuala Lumpur: Ibu tunggal, Nor Azimah Ibrahim, 31, yang hilang di Madinah sejak 19 Disember dua tahun lalu, selamat tiba di tanah air hari ini.