Klang: "Ada yang menjerit, ada yang jatuh sehingga kena pijak ketika berlari untuk selamatkan diri," kata Muhd Qayyum Ismail, 31.
Dia antara saksi insiden letupan bunga api pada sambutan ambang Tahun Baru 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran, tengah malam tadi.
Dalam insiden itu, 14 pengunjung cedera membabitkan 10 dewasa dan empat kanak-kanak.
"Kejadian berlaku kira-kira 2 minit dan tiada masalah ketika letupan awal kerana ia meletup di atas.
"Tetapi keadaan mula kelam kabut dan saya pun panik sehingga terjatuh apabila bunga api itu menuju ke arah pengunjung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian petang tadi.
Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati Fiesta Gegar Klang sedang berlangsung tiga hari sehingga hari ini.
Di satu lokasi, terdapat kesan darah pada lantai kerana difahamkan seorang lelaki cedera di kepala sehingga berdarah.
Menurut penyedia permainan di fiesta itu yang enggan dikenali, gelongsor angin setinggi 8 meter yang dipasangnya untuk acara berkenaan turut berlubang terkena bunga api.
“Gelongsor ini jadi perisai malam tadi. Ramai yang berlari di kawasan gelongsor ini sehingga terjatuh untuk cari tempat berlindung.
“Ada satu kesan berlubang terkena bunga api, tetapi saya sudah jahitnya pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, penuntut kolej swasta, Muhammad Yusof Isman, 20, ketika dihubungi turut berkongsi pengalamannya ketika kejadian itu berlaku.
"Masa letupan pertama semua 'okay', tetapi letupan kedua meletup di bawah.
"Semua bertempiaran lari, ada melaungkan 'Allahuakbar.. Allahuakbar...', ada budak menangis.
"Saya perasan ada remaja cedera di betis terkena bunga api itu," katanya yang berasal dari Teluk Gadong, di sini.
Dalam insiden 12 tengah malam itu, mangsa yang cedera menerima rawatan awal di lokasi dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) menubuhkan pasukan siasatan dalaman khas bagi menyiasat insiden berkenaan.
Klang: "Ada yang menjerit, ada yang jatuh sehingga kena pijak ketika berlari untuk selamatkan diri," kata Muhd Qayyum Ismail, 31.