Putrajaya: Siasatan terhadap bapa tiga anak di Johor Bahru yang mendakwa terpaksa mencuri barangan keperluan sekolah dan makanan sejuk beku akibat kekangan kewangan mendapati dia seorang yang berkemampuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata, berikutan itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan tidak layak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, beliau difahamkan anak sulung lelaki berkenaan baru berusia tiga tahun dan tidak mempunyai keperluan untuk membeli barang keperluan sekolah.
"Apa yang dilakukan lelaki itu mungkin ada 'tabiat' atau mempunyai kepentingan diri sendiri, bagaimanapun, biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menyelesaikan masalah kes ini.
"Tetapi kita tidak membiarkan dia dan keluarga begitu sahaja malah pegawai kami sudahpun memberikan perkhidmatan kaunseling kepadanya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kelengkapan Sekolah 'Kembali Ke Sekolah dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) di kementeriannya di sini, hari ini.
Muka depan Harian Metro melaporkan akibat kekangan kewangan, seorang bapa kepada tiga anak mendakwa terpaksa mencuri makanan sejuk beku dan keperluan tadika seperti kapur kasut dan stoking bernilai RM415.06 dari sebuah pasar raya di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
Ketika ditahan jam 3 petang, suspek berusia 31 tahun itu mendakwa tidak mempunyai cukup wang untuk membayar barangan yang diambil memandangkan perlu membeli kelengkapan sekolah tadika anaknya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad dipetik berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah jabatan kerajaan di daerah ini sejak 13 tahun lalu itu ditahan selepas gagal mengemukakan resit pembayaran barangan yang ditemui bersamanya itu.
Putrajaya: Siasatan terhadap bapa tiga anak di Johor Bahru yang mendakwa terpaksa mencuri barangan keperluan sekolah dan makanan sejuk beku akibat kekangan kewangan mendapati dia seorang yang berkemampuan.