Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Bapa lumpuh terharu anak cemerlang

$
0
0
Utama

Seremban: Seorang bapa yang lumpuh separuh badan akibat penyakit strok menangis terharu ketika dimaklumkan mengenai keputusan cemerlang peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) anaknya, Muhammad Fakhrullah Md Nazam.

Md Nazam Mustafa, 48, tidak mampu menahan perasaan dan menangis sambil memeluk anak keduanya itu dari empat beradik, pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di sini, yang mencatat keputusan 10A.

"Saya rasa gembira dan bersyukur. Semoga dia berjaya sampai ke menara gading. Saya hanya mampu berdoa dan memberi sokongan moral," kata lelaki yang lumpuh sejak enam tahun lalu itu ketika ditemui di perkarangan sekolah berkenaan.

Isterinya, Norasikin Md Tawil, 45, berkata, beliau dan suami yang pernah bekerja sebagai atendan hospital tidak pernah memaksa Muhammad Fakhrullah untuk cemerlang sebaliknya hanya mahu anak mereka berusaha bersungguh-sungguh.

"Macam Bahasa Inggeris, kami tak pernah ajar dia tapi sejak kecil memang dia suka baca buku Bahasa Inggeris, jadi dari situ saya rasa dia belajar," kata suri rumah itu.

Menjadikan abangnya yang kini belajar di Perancis dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa sebagai sumber inspirasi, Muhammad Fakhrullah berkata, beliau berhasrat belajar di Sepanyol dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.

Dua lagi pelajar sekolah itu yang turut meraih 10A - Muhammed Mikhail A Hafidz dan Ammar Haziq Mazlan - pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan 5th Asean Plus Three Junior Science Odyssey di Filipina dari 12 hingga 18 Jun lalu.

Mereka membawa pulang dua pingat gangsa dalam 'lab skills' dan sebutir perak bagi 'group pitching presentation'.

Pengetua SDAR, Safuan Raba'ai berkata, 22 daripada 123 pelajar yang menduduki PT3 tahun ini memperoleh 10A, manakala ramai berada dalam kelompok yang memperoleh 6A, 7A, 8A dan 9A.

Beliau menjelaskan fokus diberi kepada setiap pelajar dan melalui konsep mentor-mentee yang diamalkan, pelajar yang cemerlang akan membantu pelajar yang kurang cemerlang.

Beliau berpendapat PT3 adalah penterjemahan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan mencakupi usaha berterusan untuk mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang pelajar di sekolah itu, Kamarulzaman Zakaria, 52, berkata, sistem pemarkahan PT3 masih kurang difahami.

"Macam Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini, kita tahu pemarkahannya berpusat dan soalan pun sama untuk setiap calon.

"Tapi PT3 ini, soalannya berlainan (bagi setiap sekolah) dan markah pun diberi oleh guru sekolah sendiri. Jadi mungkin ada guru bagi markah tinggi, ada guru bagi markah rendah," katanya.

Image: 

Seremban: Seorang bapa yang lumpuh separuh badan akibat penyakit strok menangis terharu ketika dimaklumkan mengenai keputusan cemerlang peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) anaknya, Muhammad Fakhrullah Md Nazam.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853