Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

FB tipu bikin celaru

$
0
0
Utama

mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya amat terkejut tetapi tidak terlalu panik apabila mengetahui mengenai perkara itu. Dalam tempoh 24 jam itu, saya cuba bertenang dan membuat carian satu persatu bagaimana dan setakat mana ia tersebar.

"Saya terima banyak notifikasi di laman sosial dalam tempoh 10 jam pertama yang bertanyakan mengenai kesahihan komen itu dan sudah pasti saya nafikan kerana akaun Facebook (FB) berkenaan bukan milik saya," kata Lim Suat Ling, 20-an, yang menjadi mangsa akaun FB palsu.

Individu tertentu yang membuka akaun FB dengan nama Suat Ling Lim menggunakan gambarnya bersama Datuk Ambiga Sreenevasa itu memuat naik satu komen berbaur perkauman di laman sosial berkenaan.

Lim berkata, disebabkan komen di FB palsu itu viral di media sosial, namanya dicari hampir 60,000 kali laman berkenaan sehingga mengundang rasa bimbang mengenai keselamatannya.

"Ya, saya ada terfikir mengenai keselamatan diri saya dan keluarga kerana jenayah siber seperti ini boleh menjurus kepada jenayah kekerasan atau fizikal.

"Jadi saya mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali keluar dan setakat ini tiada apa-apa berlaku serta tiada lagi yang bertanyakan mengenainya di tempat awam,” katanya ketika ditemui semalam.

Lim berkata, komen di FB palsu itu menggunakan gambar yang dirakamnya pada Perhimpunan Bersih 5.0 di sini yang dimuat naik di FB dan Instagramnya.

"Saya bertemunya (Ambiga) di Bangsar dan kami berjalan menuju ke Dataran Merdeka. Saya memintanya untuk mengambil gambar bersama seperti yang orang lain lakukan.

"Selepas apa yang terjadi ini bukan saya saja, malah rakan-rakan di media sosial turut menyedari yang perkara ini serius tetapi semuanya menjadi semakin baik selepas 48 jam," katanya.

Lim berkata, dia mengetahui mengenai komen daripada FB palsu itu viral di media sosial selepas diberitahu rakan kira-kira 8 malam Sabtu lalu.

"Saya muat naik status di FB saya malam itu juga memberitahu ia palsu seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Sentul Ahad lalu bagi melindungi diri saya.

"Ini adalah jenayah siber yang sangat berat kerana membabitkan kecurian identiti dan boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam masa yang sangat pantas," katanya.

Dia juga kecewa kerana banyak portal berita online menyiarkan komen palsu berkenaan tanpa usul periksa sehingga menimbulkan kemarahan ramai dan merosakkan reputasinya.

Justeru selepas membuat laporan polis, dia sedia mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang jika perkara ini berlarutan bagi membersihkan namanya.

"Saya tidak sesekali akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kerana saya ramai rakan berlainan kaum.

"Sesiapa yang mengenali saya tahu yang saya bukan orang yang sedemikian, dan tidak akan menyakiti hati orang lain dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Lim menetap di London sejak tujuh tahun lalu dan aktif di media sosial termasuk blog yang memaparkan kehidupannya yang gemar mengembara.

"Perkara ini menjadi pengajaran kepada saya dan kita semua kerana apa yang kita muat naik di laman sosial menjadi tanggungjawab kita.

"Jadi saya meminta sesiapa saja yang kongsikan komen di FB palsu berkenaan supaya membuangnya dan membetulkan keadaan.

"Anda tidak tahu bahawa kesannya amat besar kepada sesiapa saja seperti saya kerana nama saya rosak disebabkan tindakan anda yang berkongsi perkara tidak benar," katanya.

Sementara itu, hasil carian di FB mendapati akaun dengan nama Suat Ling Lim itu tidak lagi wujud.

Image: 

Kuala Lumpur: "Saya amat terkejut tetapi tidak terlalu panik apabila mengetahui mengenai perkara itu. Dalam tempoh 24 jam itu, saya cuba bertenang dan membuat carian satu persatu bagaimana dan setakat mana ia tersebar.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853