Alor Setar: Lapan puluh enam pasangan dari sembilan daerah di negeri ini menyertai Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah, hari ini.
Majlis yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini, membabitkan 80 pasangan Islam dan enam pasangan bukan Islam yang turut didaftarkan perkahwinan mereka.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata 80 pasangan itu dinikahkan 59 jurunikah (imam) termasuk lima daripadanya Pegawai Agama Daerah.
Katanya, program julung kali diadakan itu adalah tajaan bersama Kerajaan Kedah dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Majlis akad nikah hari ini dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, sesi nikah diadakan secara tiga peringkat iaitu sesi pertama dan kedua, masing-masing 30 pasangan dan sesi ketiga 20 pasangan yang bermula 10 pagi sehingga 1 petang tadi.
"Program ini dianjurkan bagi mengelak berlakunya pergaulan bebas dalam kalangan anak muda, perkahwinan sempadan serta membantu mengurangkan beban kewangan," katanya selepas Majlis Kad Nikah sempena Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah.
Badrol Hisham yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pasangan terbabit hanya membayar RM500 sebagai yuran komitmen bagi menyertai program itu.
Katanya, selain akad nikah, kerajaan turut menaja majlis persandingan diadakan pada sebelah malam di Dewan Wawasan, Jitra.
Ia dijangka dihadiri kira-kira 5,000 ahli keluarga pasangan terbabit.
"Disebabkan kita menerima sambutan yang baik, kerajaan bercadang untuk menjadikan program ini acara tahunandalam kalendar tahunan kerajaan negeri.
"Selain itu, program ini juga mempromosi Discover Kedah 2016 kepada pelancong dengan memaparkan kepelbagaian adat resam dan bangsa yang terdapat di Kedah," katanya.

Alor Setar: Lapan puluh enam pasangan dari sembilan daerah di negeri ini menyertai Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah, hari ini.



