Johor Bahru: Kejujuran pasukan bomba memulangkan wang tunai yang ditemui ketika operasi menyelamat dan memadam kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, dipuji.
Tindakan pasukan bomba itu menarik perhatian pengguna laman sosial apabila ia dimuat naik menerusi Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
Antara lain mereka menyatakan pasukan bomba adalah wira yang bukan sahaja bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, tetapi wira yang bertugas kerana amanah yang dijunjung.
Wang tunai sebanyak RM2,760 terdiri daripada 276 keping not RM10 itu diserahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar kepada Dr Tan Cheng Cheng, kira-kira jam 5.45 petang, kelmarin.
Wang tunai itu berada dalam laci meja di bilik ICU berkenaan dan ditemui pasukan bomba ketika operasi memadam kebakaran dilakukan.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Johor, Mohamad Riduan Akhyar turut melahirkan rasa gembira apabila melihat anggota bomba bertindak jujur menyerahkan semula wang berkenaan.
"Tugas kami adalah menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat," katanya.

Johor Bahru: Kejujuran pasukan bomba memulangkan wang tunai yang ditemui ketika operasi menyelamat dan memadam kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, dipuji.



