Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Terkulai helah wanita 'Datuk Seri' [METROTV]

$
0
0
Utama

mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik syarikat perunding yang kononnya membantu peniaga Bumiputera, seorang wanita 36 tahun yang kononnya bergelar Datuk Seri memperdaya ahli perniagaan yang mahu mengembangkan perniagaan untuk membuat pinjaman dengan mereka.

Siasatan polis mendapati sebaik menerima bayaran yang dikenakan kepada mangsa, iaitu RM5,000 untuk kos audit dan bayaran proses 10 peratus daripada jumlah pinjaman yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkenaan, mereka akan mengeluarkan wang itu dalam masa 24 jam.

Selain syarat yuran proses 10 peratus daripada pinjaman dan RM5,000 bayaran audit, sindiket itu yang menawarkan pinjaman sehingga RM2 juta, juga mewajibkan pemohon memindahkan 51 peratus hak milik syarikat kononnya sebagai cagaran pinjaman.

Antara mangsa wanita ‘Datuk Seri’ dipercayai bekas kakitangan agensi kerajaan itu, ialah Sofia, 33, (bukan nama sebenar) yang ditawarkan pinjaman oleh sindiket itu selepas permohonan pinjamannya dengan sebuah bank tempatan tidak berjaya hujung tahun lalu.

"Kerani bank di cawangan Bangi itu mencadangkan saya membuat pinjaman dengan wanita berkenaan.

"Saya bertemu dengan wanita itu di sebuah hotel di Putrajaya, Februari lalu, dan terkejut kerana borang pinjaman mempunyai maklumat peribadi yang diisi di bank, berada dengannya,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan yang ditemui di sini, semalam.

Selepas setuju dengan semua syarat, Sofia menyerahkan RM5,000 pada 21 Februari lalu, sebagai bayaran audit dan bayaran yuran proses 10 peratus RM80,000 lagi yang dimasukkan ke dalam satu akaun bank.

“Selepas itu saya diminta menukar 51 peratus pemilikan syarikat saya kepada nama seorang lelaki sebagai cagaran pinjaman.

“Saya masih tidak mengesyaki apa-apa selepas diminta menukar nama pada cek syarikat kepada nama lelaki itu kerana turut disertai kerani bank berkenaan.

"Malangnya, selepas itu, wang RM2 juta yang dijanjikan tiada dengan alasan saya membuat pemalsuan audit sedangkan wanita berkenaan melakukan audit," katanya.

Menyedari ditipu, Sofia meminta sindiket itu menyerahkan kembali syarikat yang diusahakan sejak empat tahun lalu, namun diberi syarat wang RM85,000 yang sudah dibayar, tidak akan dipulangkan jika mahukan kembali 51 peratus pemilikan syarikatnya. Sofia enggan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Jun lalu.

Selain RM85,000, Sofia mendakwa kerugian hampir kira-kira RM1 juta lagi iaitu nilai 51 peratus pemilikan syarikatnya.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Izad, 31, (bukan nama sebenar) berkata, dia terpedaya dengan helah wanita itu selepas diyakinkan ada syarikat besar turut membuat pinjaman dengan mereka.

“Saya mahu meminjam RM1 juta namun selepas beberapa bulan, wang pinjaman itu masih tidak diberikan. Jadi dia kata saya perlu buat pinjaman lebih banyak iaitu RM2 juta jika mahu pinjaman saya diproses cepat.

“Selepas membuat bayaran RM85,000, mereka terus senyap, malah saya dimaki dan diugut untuk disaman jika melaporkan kes ini kepada polis," katanya yang memiliki perniagaan percetakan.

Bagaimanapun, mereka memulangkan RM40,000 kepada Izad selepas dia terus mendesak namun mangsa masih menanggung hutang kerana meminjam daripada beberapa pihak untuk membayar wang audit serta 10 peratus yuran proses kepada wanita berkenaan.

Izad membuat laporan polis di Sikamat, Negeri Sembilan pada April lalu sebelum kes diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan:

Wanita ‘Datuk Seri’ dah kena tahan

Image: 

Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik syarikat perunding yang kononnya membantu peniaga Bumiputera, seorang wanita 36 tahun yang kononnya bergelar Datuk Seri memperdaya ahli perniagaan yang mahu mengembangkan perniagaan untuk membuat pinjaman dengan mereka.

Sindiket Tipu Pinjaman Datuk Seri

Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853