Putrajaya: Lebih 1,000 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar perkarangan Istana Kehakiman, Presint 2 Putrajaya, pagi ini.
Mereka menunggu keputusan permohonan Anwar yang memohon Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan sebelum ini berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Difahamkan, penyokong mula berkumpul sejak jam 8 pagi, bagaimanapun mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan Istana Kehakiman.
Pihak polis turut memasang besi penghadang di sekeliling bangunan Istana Kehakiman bagi mengelakkan penyokong memasuki bangunan mahkamah.
Sepanjang menunggu keputusan, penyokong turut mendengar ceramah, selain mengadakan solat hajat.
Ini adalah rayuan terakhir Anwar supaya dibebaskan dari tuduhan itu, selepas Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 16 Mac tahun lalu, menolak petisyen pengampunan Anwar dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya perlu diteruskan.
Jika keputusan memihak kepdanya, beliau akan dibebaskan dari sabitan dan hukuman, jika sebaliknya, Anwar yang kini sudah menjalani hukuman penjara setahun lapan bulan di Penjara Sungai Buloh terpaksa menghabiskan kira-kira setahun empat bulan lagi (selepas ditolak satu pertiga daripada hukuman) hukuman penjara.
Putrajaya: Lebih 1,000 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar perkarangan Istana Kehakiman, Presint 2 Putrajaya, pagi ini.