Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Ayuh Adinda, buktikan kemampuanmu

$
0
0
Utama

nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Adinda Tasya Mansor , 11, yang viral di Internet kerana kemampuannya menyanyi dalam bahasa Mandarin sekali lagi mahu mencabar diri apabila bakal menyertai pertandingan nyanyian di Singapura dan Hong Kong pada November dan Disember ini.

Adinda sebelum ini berjaya ke final program realiti TV di China, 'Lets Sing Kids' bermula 2 Julai sehingga awal September lalu.

Malah, rakaman videonya menyanyikan lagu berbahasa Mandarin berjudul 'Next Stop In The Future', nyanyian Lim Yu Qun iaitu penyanyi dari Taiwan turut viral di Facebook, baru-baru ini.

Adinda ketika ditemui Harian Metro berkata, fokusnya kini untuk memperbaiki nyanyian dan mencuba peluang menyanyi di beberapa negara lain termasuk Singapura, Hong Kong pada November dan penghujung tahun ini selain Taiwan pada masa akan datang.

"Saya berada di China lebih dua bulan sejak menyertai program itu Julai lalu. Saya baru saja seminggu berada di tanahair dan tumpuan kini untuk menyertai mana-mana program realiti di negara luar lain.

"InsyaAllah, Singapura dan Hong Kong dalam tahun ini," katanya yang hadir ke Balai Berita bersama ibu dan guru vokalnya, hari ini.

Menceritakan pengalaman ketika menyertai program itu, katanya, dia gementar setiap kali mahu membuat persembahan namun dia berusaha menghilangkan perasaan itu untuk membawa nama negara ke pentas antarabangsa.

"Saya juga tak sangka penonton akan bangun dan memberikan tepukan gemuruh selain pihak juri yang memuji nyanyian saya ketika menyanyikan lagu berjudul 'Next Stop In The Future'.

"Bukan mudah untuk saya menyanyikan lebih lima lagu dalam program itu kerana ia memerlukan tenaga dan latihan yang sewajarnya sehinggakan kadang-kadang saya tak cukup tidur.

"Syukur, saya berjaya hingga ke final dan saya juga terkejut rakaman video ketika mengadakan persembahan viral bukan saja di negara ini tetapi juga di Taiwan," katanya.

Katanya, dia fasih berbahasa Cina berikutan ibu bapanya menggalakkannya belajar bahasa Cina, dan bertutur dalam bahasa itu dengan rakan-rakan.

“Ibu bapa menghantar saya ke sekolah Cina sejak usia saya tiga tahun lagi. Saya menggunakan manfaat itu untuk mengasah bakat nyanyi dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat membawa nama negara ke seluruh dunia pada masa akan datang dengan menyertai mana-mana pertandingan dan program realiti TV membabitkan bidang nyanyian.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya sepanjang berada di sana (China),”katanya yang juga pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sin Min di Taiping.

Ibunya, Ernisyah Amrul, 45, berkata, dia tidak menyangka anaknya memasuki peringkat akhir kerana rata-rata peserta lain juga sangat hebat.

"Syukur, dia adalah antara kanak-kanak Melayu pertama dari Malaysia menyanyi di China dan ini adalah sesuatu yang membanggakan kami sekeluarga serta seluruh rakyat negara ini.

"Anak saya aktif menyanyi sejak usia lima tahun selepas bersekolah di sebuah sekolah jenis Cina pada usianya tiga tahun.

Katanya, fokusnya kini adalah menumpukan sepenuh perhatian terhadap anaknya termasuk membawanya ke pusat latihan iaitu di Studio Jacob Vocal & Art di Kepong pada setiap hujung minggu untuk memperbaiki vokal dan nyanyiannya.

"Saya sebagai ibu menyokong apa saja bidang yang diceburi demi kebaikan anak pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, guru vokal, Jacob Teo berkata, sebagai tenaga pengajar yang melatih Adinda dia berbangga dengan pencapaian anak muridnya itu.

"Saya melihat dia (Adinda) ada bakat terpendam dan potensinya dalam bidang nyanyian sangat bagus. Semuanya bermula selepas saya meminta izin dan rakaman video Adinda daripada ibunya untuk menghantar dan mendaftar penyertaan anaknya kepada pihak pengurusan program realiti Lets Sing Kids di China pada Februari lalu.

"Program ini mendapat kira-kira 250 penyertaan membabitkan kanak-kanak dari beberapa negara di seluruh dunia. Pada awalnya pihak pengurusan program memberitahu nyanyian Adinda hanya biasa saja tapi saya latih dan perbaiki vokal serta nyanyiannya," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka kanak-kanak itu terpilih ke peringkat seterusnya bersama dengan 18 peserta lain dari termasuk dari Kanada, Hong Kong, Taiwan dan Amerika Syarikat.

"Dia boleh pergi lebih jauh selain mempunyai vokal luar biasa. Saya kini komited melatihnya untuk dia menyertai pertandingan nyanyian di Singapura dan Hong Kong dalam masa terdekat ini, " katanya.

Image: 

Kuala Lumpur: Adinda Tasya Mansor , 11, yang viral di Internet kerana kemampuannya menyanyi dalam bahasa Mandarin sekali lagi mahu mencabar diri apabila bakal menyertai pertandingan nyanyian di Singapura dan Hong Kong pada November dan Disember ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853