Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Cari, bersemuka, nasihat [METROTV]

$
0
0
Utama

mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terkilan dengan sikap sesetengah individu atau 'keyboard warrior' yang gemar mencaci ulama dan ahli agama di laman sosial, empat sahabat mengambil pendekatan 'memburu' mereka dan memberi nasihat secara bersemuka.

Seorang daripada mereka, Nuril Anuar Shaari, 37, berkata, pendekatan yang mereka anggap sebagai ziarah mahabbah atau ziarah kasih sayang ini adalah antara usaha dakwah mereka yang tidak membabitkan sebarang kekerasan.

"Ini adalah misi sukarela kami untuk bertemu dengan individu berkenaan dan terangkan kepada mereka mengapa kita tidak patut mencaci sesiapa saja di laman sosial seperti Facebook (FB) dan aplikasi Whatsapp.

"Usaha yang kami lakukan ini langsung tidak membabitkan kekerasan atau unsur ugutan kerana kami datang hanya untuk beri nasihat kepada mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Nuril Anuar bersama tiga sahabatnya, Suhaimi Zamri, 35, Azlan Abu Samah, 35 dan Hamidon Abd Rahman, 37, memulakan usaha murni ini sejak pertengahan tahun lalu dan mengemaskini aktiviti mereka di FB masing-masing.

"Kami tidak terikat dengan mana-mana pihak. Tiada kaitan dengan fahaman politik, persatuan atau pihak berkepentingan dan tidak mempunyai apa-apa nama yang spesifik kerana ini sememangnya inisiatif sendiri.

"Bagaimanapun, tidak nafikan ada pihak daripada parti politik atau persatuan tertentu yang meminta bantuan kami apabila mereka menerima ugutan daripada pelayar laman sosial untuk menasihati individu berkenaan," katanya yang juga peniaga kedai makan.

Mereka pernah bertemu dengan individu yang membuat ugutan bunuh terhadap pemimpin agama menerusi aplikasi Whatsapp.

Pertemuan yang berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini juga berlangsung dengan mesra di samping individu berkenaan memuji pendekatan yang dibuat mereka.

Empat sahabat yang sudah mengenali antara satu sama lain lebih 10 tahun ini juga bukan saja bertemu dengan 'keyboard warrior' ini di Lembah Klang.

"Jika secara kebetulan kami mempunyai tugas di negeri lain, kami akan mencari individu yang ada buat ugutan ke, atau pun mencaci golongan agama ini seperti yang kami lakukan di Kuala Kangsar, Kota Bharu dan Tangkak.

"Siapa pun kita, kita tidak layak untuk memaki orang yang banyak memberi ilmu kepada kita dan harus kita akui yang ilmu kita tidak setanding mereka.

"Tetapi penjelajahan kami kadangkala tidak berkesudahan dengan baik, kerana ada individu yang pada awalnya sedia untuk bertemu, tetapi gagal dihubungi atau tidak muncul bila kami sampai di lokasi yang dijanjikan," katanya.

Sementara itu, Suhaimi pula berkata, walaupun usaha mereka nampak kecil, tetapi cara mereka ini semakin mendapat perhatian sehingga ada pihak yang menyamar dengan mendakwa mereka dinaungi satu gerakan.

"Ada yang dakwa mereka sama-sama bernaung dengan kami dalam 'Gerakan Tarbiyah' sedangkan kami bergerak sendiri.

"Ada juga yang menuduh kami sebagai samseng di laman sosial, tetapi kami tidak melayan tuduhan-tuduhan sedemikian kerana kami bukan macam itu.

"Tiada pula laporan polis dibuat ke atas kami, dibelasah ke, diugut ke, sebab kami memang sekadar memberi nasihat dan pertemuan itu biasanya berlaku secara santai," katanya.

Selain itu, mereka juga sering dihubungi pihak tertentu yang memerlukan pertolongan mereka.

Antara kes yang pernah dikendalikan mereka sebelum ini selain daripada bertemu dengan golongan pencaci ulama ini ialah kes ugutan pukul, penipuan dan membantu anak yang bermasalah.

"Usaha dakwah yang kami lakukan ini adalah untuk semua. Ramai yang minta tolong tapi kami tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana kami bergerak sendiri dan bukan sepenuh masa.

"Tetapi semuanya hanya memerlukan kami menjadi 'orang tengah' dengan memberikan khidmat nasihat. Alhamdulillah, kes berkenaan selesai.

"Kami anggap ini adalah sumbangan kami dalam menegakkan syiar Islam dan satu bentuk dakwah yang belum pernah dilakukan orang lain," katanya.

Empat sahabat ini menggunakan hashtag #dakwahkitaberbeza setiap kali memuat naik gambar mereka selepas bersemuka dengan individu berkenaan.

Mereka juga tidak bercadang untuk menamakan kumpulan mereka atau pergerakan mereka secara rasmi kerana tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak dan lebih selesa bergerak bebas.

Image: 

Kuala Lumpur: Terkilan dengan sikap sesetengah individu atau 'keyboard warrior' yang gemar mencaci ulama dan ahli agama di laman sosial, empat sahabat mengambil pendekatan 'memburu' mereka dan memberi nasihat secara bersemuka.

cari terus, nasihat

Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853