Ipoh: Enam anggota bomba dan dua pekerja kilang menerima rawatan di hospital dan klinik akibat dipercayai terhidu `acid ferric’ selepas satu tangki asid itu bocor di kilang di Kampung Bukit Merah, Ipoh, hari ini.
Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata enam anggota bomba dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurutnya, anggota bomba terbabit mengalami tanda-tanda sesak nafas, mata merah dan sakit perut.
Katanya, selain gejala terhidu asid itu, enam anggota bomba turut mengalami keletihan selepas memikul lima tan sodium yang hendak digunakan untuk meneutralkan asid.
Menurutnya, lima tan sodium itu sepatutnya dibawa menggunakan bantuan ‘forklift’ namun disebabkan bimbang asid merebak, semua anggota bomba terbabit dalam operasi terbabit menggunakan tenaga sendiri untuk membawanya.
"Dua pekerja kilang dan anggota bomba mengalami pelbagai gejala dipercayai akibat terhidu asid berkenaan seperti mata menjadi merah, sakit perut dan sesak nafas.
"Mereka kini masih diberikan rawatan dan pemantauan sedang dijalankan bagi memastikan tiada kesan sampingan lain,” katanya yang ditemui selepas melawat anggota bomba berkenaan di HRPB.
Selain itu, katanya, asid yang dikesan bocor adalah `acid ferric’ dan bukan amonia seperti yang tersebar awal hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Mohd Khairul Jamil, berkata siasatan awal mendapati tangki asid berkenaan mengalami kebocoran sebelum tumbang menyebabkan asid mula tersebar ke udara.
Katanya, anggota kemudiannya melakukan kerja-kerja meneutralkan asid berkenaan menggunakan sodium sebelum operasi ditamatkan, pada kira-kira 3 petang.
Ipoh: Enam anggota bomba dan dua pekerja kilang menerima rawatan di hospital dan klinik akibat dipercayai terhidu `acid ferric’ selepas satu tangki asid itu bocor di kilang di Kampung Bukit Merah, Ipoh, hari ini.