Alor Setar: Pelajar tingkatan dua yang mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipukul tiga pelajar senior akibat salah faham di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, dekat sini, kelmarin sudah sedar jam 2 pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Anas Amir, 14, tidak sedarkan diri selama 14 jam selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala 7.30 pagi semalam.
Bapa mangsa, Amir Ahmad, 47, berkata, keadaan anaknya beransur pulih tetapi masih dalam pemerhatian doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),di sini.
Katanya, dia menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut selain mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan anaknya kembali sembuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, tiga suspek berusia 15 tahun yang ditahan kelmarin direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipukul tiga pelajar senior akibat salah faham di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani,.
Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa ditumbuk dan dihantuk kepala ke dinding oleh pelajar berusia 15 tahun dalam sebuah bilik darjah pada waktu pagi, namun kejadian itu hanya disedari keluarga ketika mangsa pulang ke rumah dan mengadu sakit kepala.
Alor Setar: Pelajar tingkatan dua yang mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipukul tiga pelajar senior akibat salah faham di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, dekat sini, kelmarin sudah sedar jam 2 pagi tadi.