Klang: Enam puluh tiga tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan kira-kira RM1.2 juta dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor antara Januari-16 Ogos lalu.
Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim Laksamana Pertama Maritim Ibrahim Mohamed, berkata tangkapan itu membabitkan pelbagai kesalahan.
Katanya, ini termasuk kesalahan penyeludupan rokok, pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan zon larangan menangkap ikan, menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan kesalahan mengikut Akta Ordinan Perdagangan Perkapalan.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga APMM Selangor melakukan 1,253 operasi termasuk menahan 268 PATI pelbagai warganegara yang masuk dan keluar menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan.
"Perairan Selangor di sekitar kawasan utara dan selatan seperti di Tanjung Karang, Sekinchan, Tanjung Sepat, Pelabuhan Utara, Klang sering menjadi lokasi kegiatan haram terutama pemerdagangan manusia dan juga penyeludupan barangan.
"Kebanyakan saluran maklumat dalam operasi tangkapan dan pemeriksaan ini datang daripada pelbagai pihak terutama nelayan yang selama ini memberikan kerjasama yang baik dengan APMM.
"Nelayan diharap terus menjadi mata dan telinga APMM untuk memastikan kegiatan jenayah di perairan negara bebas ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya ditemui selepas merasmikan Program Sahabat Maritim di Pengkalan Nelayan Jalan Genting Rantau Panjang, di sini.
Klang: Enam puluh tiga tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan kira-kira RM1.2 juta dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor antara Januari-16 Ogos lalu.