Kuala Lumpur: Dia pada mulanya hanya mampu meminta untuk bergambar bersama apabila melihat wanita cantik dari Thailand ketika menyertai pertandingan kecergasan di Singapura pada Jun tahun lalu.
Sudah jodohnya, wanita itu yang sebenarnya pelakon popular Thailand menjadi isterinya apabila mereka selamat diijabkabulkan pada 9 Julai lalu.
Muhammad Hakim Azahar, 25 tahun yang juga jurugambar berkata, ketika itu isterinya, Nook Suttida Kasemsant Na Ayutthaya, 39, atau nama Islamnya Aisya bersama rakan yang turut menyertai pertandingan itu mewakili Thailand.
"Saya kenal dengan isteri ketika bertanding dalam South East Asia Streetworkout Championship 2015.
"Mula-mula nampak dia memang cantik. Saya cuma berani bergambar dengan dia, tak berbual pun. Kemudian saya minta Instagram dia dan apabila balik dari Singapura saya mesej untuk minta nombor telefon dia.
"Itu pun dia balas selepas seminggu, kemudian barulah kami saling berbalas mesej dan berkenalan dengan lebih lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Aisya popular menerusi drama bersiri Angel Destiny, Kamin Kub Poon, Huk Leam Kularb selain membintangi filem, Dek Ra Berd - Extreme Game, Taek 4 dan Lok Tung Bai Hai Nai Kon Deaw.
Dia turut dikenali sebagai model dan pengacara namun bermula sebagai penyanyi 16 tahun lalu.
Muhammad Hakim yang berasal dari Kluang, Johor muncul juara kategori 'Freestyle' dalam pertandingan itu langsung tidak mengetahui wanita cantik itu adalah seorang pelakon di Thailand.
"Pada mulanya saya memang tidak tahu langsung yang dia adalah pelakon. Cuma pelik kenapa dia mempunyai ramai pengikut di Instagram (143,000 pengikut) sebelum saya membuat carian di Youtube.
"Rasa 'excited' (teruja) juga masa itu lepas tahu dia pelakon, tapi saya tak mengharap apa-apa pun. Cuma berharap hubungan kami berjalan lancar," katanya.
Muhammad Hakim berkata, tindakannya membuat sujud syukur selepas kemenangan itu antara yang membuatkan isterinya terpaut hati dengan dirinya.
"Dia beritahu saya dia tak boleh lupa yang saya ada sujud syukur bila dah menang pertandingan itu dan dia ingat saya senyum padanya. Itu buat dia jatuh hati tu.
"Lagi satu dia mahukan suami yang mempunyai nama Muhammad dan isteri baginda nabi, Aisya kerana sebelum kami kenal, dia memang sudah memeluk Islam pada Februari 2015," katanya yang melamar isterinya pada 12 Mac lalu sebelum bertunang pada 10 April.
Perkahwinan pasangan ini viral di media sosial selepas mendapat liputan media Thailand dan turut dihadiri Raja Perempuan Perlis,Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
"Keluarga angkat saya Datuk Abdul Fatah yang banyak membantu dalam pengurusan perkahwinan saya yang mempunyai pertalian saudara dengan kerabat Perlis," katanya.
Mengenai perbezaan usia 14 tahun dengan isterinya, ibu tunggal yang mempunyai dua anak lelaki berusia 10 dan 11 tahun, Muhammad Hakim berkata semua itu tiada masalah kerana mereka berkomunikasi dengan baik dalam semua perkara.
"Perbezaan usia tiada masalah bagi kami sebab tiada rasa jurang usia dan kami berkomunikasi dengan baik dalam semua benda. Anak-anak juga boleh menerima saya dengan baik kerana saya boleh melayan kerenah budak kecil. Mungkin juga mereka perlukan perhatian daripada seorang ayah.
"Dari segi budaya dan adat perkahwinan juga ada persamaan seperti merenjis dan saling berbalas hantaran. Cara hidupnya, saya dan keluarga boleh terima dengan hati terbuka selagi tidak lari daripada ajaran Islam.
"Memandangkan saya baru berpindah ke Bangkok sejak tiga minggu lalu, saya masih belajar mengenai budaya Thai," katanya yang tidak menghalang isterinya meneruskan karier lakonan.
Dia juga akan membantu perniagaan isterinya yang berkaitan dengan produk kecantikan wanita selain bercadang untuk menjadi jurulatih kecergasan di Bangkok.
Kuala Lumpur: Dia pada mulanya hanya mampu meminta untuk bergambar bersama apabila melihat wanita cantik dari Thailand ketika menyertai pertandingan kecergasan di Singapura pada Jun tahun lalu.