Machang: Suaminya masih hilang akibat terjatuh ke dalam sungai dekat Rumah Pam Kemubu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini, dan dia melahirkan anak ketujuh, 10 pagi tadi di Hospital Machang.
Begitulah dugaan Pattuma Wan Hassan, 32, yang kini mengenang nasib kelahiran bayi itu tanpa ayah di sisi selain enam lagi anaknya yang masih kecil dengan empat daripadanya masih di bangku sekolah.
Suaminya, Mohd Zaini Harun, 38, terjatuh ke dalam sungai selepas bot memancing dinaiki bersama dua rakan terperangkap ketika air pasang besar, malam semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 13 jam sebelum bayi itu dilahirkan dan tengah malam itu Pattuma sempat ke lokasi meninjau kerja pencarian suaminya.
“Susah saya nak terima semua ini. Anak sebelum ini dilahirkan dengan dia di sisi, tetapi kali ini semuanya berbeza, suasana dan keadaannya lain.
“Saya hanya boleh anggap dia ada di sisi saya dan berharap untuk dia terus ada dengan kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Machang, di sini, semalam.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat Mohd Zaini ditangguhkan pada 6.30 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Bin Mat Zin berkata, operasi itu akan disambung semula pada 8 pagi esok. "Bagaimanapun, kita tetap melakukan pemantauan iaitu pencarian di sekitar tebing pada sebelah malam memandangkan pencarian di dalam air ditangguhkan.
"Dalam operasi hari ini, tiada apa-apa petanda ditemui dan mangsa sukar dikesan berikutan memakai baju T putih, yang kini warnanya hampir menyamai warna air sungai yang keruh.
"Kita juga bimbang mangsa tersangkut pada sisa kayu yang berlonggok dalam sungai," katanya di sini, hari ini.
Selain 15 anggota bomba, operasi turut disertai enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), lima anggota polis dan enam anggota bomba sukarela.
Machang: Suaminya masih hilang akibat terjatuh ke dalam sungai dekat Rumah Pam Kemubu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini, dan dia melahirkan anak ketujuh, 10 pagi tadi di Hospital Machang.