Kota Tinggi: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa bot pancung karam yang dinaiki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di Pantai Batu Layar, dekat sini, ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, angka korban dari kejadian bot karam itu adalah sembilan iaitu dua lelaki, enam wanita dan seorang bayi.
"Mayat terakhir ditemui ialah wanita yang dijumpai terdampar pada 4.10 petang, satu kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mereka yang terselamat pula seramai 34 orang, 26 lelaki dan lapan perempuan, kini ditempatkan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika Johor Bahru, untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Mohd Fadhli Ismail berkata, SAR ditamatkan berikutan tiada petunjuk baru mengenai mayat mangsa akan ditemui selain kemungkinan mangsa yang terselamat melarikan diri.
"Kita sudah memantau kawasan persisiran pantai seluas dua kilometer dan didapati tidak terdapat petanda positif.
Kita juga percaya ada di antara mangsa sudah melarikan diri sebaik dapat menyelamatkan diri kerana takut dicekup pihak berkuasa," katanya di pusat operasi pencarian di sini, hari ini.
Mohd Fadhli bagaimanapun berkata, pasukan penyelamat masih diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu jika ada mayat ditemui.
Pperasi SAR membabitkan kira-kira 40 anggota anggota penguatkuasa pelbagai agensi, tertumpu kira-kira lima batu nautika persegi dari lokasi bot itu karam.
Kota Tinggi: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa bot pancung karam yang dinaiki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di Pantai Batu Layar, dekat sini, ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang tadi.