Sik: Lebih lima ribu hadir pengkebumian ulama tersohor Kedah, Salleh Musa, 87, hari ini.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Rahman, Pekan Sik, pada 1.30 petang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Madrasah Ar-Rahmaniah.
Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi pengikut dan pelajarnya yang bergilir-gilir mengusung keranda sejauh satu kilometer.
Anak perempuan Allahyarham, Nafisah, 51, berkata arwah bapanya seorang sangat berdisiplin dalam menuntut dan memberi ilmu, mudah mesra, memuliakan tetamu dan sering menyembunyikan masalah yang dihadapinya.
Menurutnya, arwah bapanya mengalami masalah pada paru-paru sejak sebulan lalu, namun langsung tidak pernah mengeluh atau mengadu masalah kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.
"Kami lihat raut wajahnya seperti sedang menahan sakit, namun arwah tidak pernah menceritakan kesakitannya.
“Malah, masih gigih mengajar agama sepanjang Ramadan lalu, meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu.
"Malah, kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah dan menganggap ia sebagai satu keajaiban apabila ribuan pelajar dan pengikutnya tidak putus-putus datang menziarahi arwah sejak berita ketiadaannya tersebar sejak malam semalam," katanya ketika ditemui, di sini.
Turut hadir menziarahi jenazah ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pada 8.15 malam tadi, ketika menerima rawatan selepas dihantar dengan ambulan dari rumahnya di Madrasah Ar-Rahmaniah, Sik, sejak pagi semalam.
Allahyarham pernah menerima Tokoh Pendakwah Negeri Kedah pada 2009, Tokoh Pondok Negeri Kedah 2010 dan Tokoh Ilmuan Daerah Sik pada 2011.
Sik: Lebih lima ribu hadir pengkebumian ulama tersohor Kedah, Salleh Musa, 87, hari ini.