Kuala Lumpur: Petron Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan tidak berlaku gangguan bekalan berikutan kebakaran di kilang penapis minyaknya di Port Dickson, malam tadi.
Dalam satu kenyataan, hari ini, ia berkata, kebakaran itu berlaku pada 9 malam.
Bagaimanapun, api dipadam pada kira-kira 11 malam dan tiada kecederaan dalam kejadian itu.
“Walaupun kami masih menilai kerosakan dialami, kami beri jaminan tidak ada gangguan bekalan kepada pelanggan.
“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai yang keselamatan adalah keutamaan kami dan kami mematuhi standard keselamatan setiap masa,” katanya.
Petron juga menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kilang Penapis Shell dan Jabatan Polis di atas bantuan dan usaha bersepadu mereka dalam memadam kebakaran itu.
Petron Malaysia adalah antara syarikat minyak hiliran terkemuka di negara ini dan kilang penapis minyak di Port Dickson itu menghasilkan 88,000 tong minyak sehari yang diagihkan melalui lapan terminal di seluruh negara.
Melalui 560 stesen di negara ini, ia menjual runcit pelbagai jenis minyak premium seperti Blaze 100 Euro 4M, Blaze 97 Euro 4M, Blaze 95 dan Diesel Max.

Kuala Lumpur: Petron Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan tidak berlaku gangguan bekalan berikutan kebakaran di kilang penapis minyaknya di Port Dickson, malam tadi.



