Dungun: Aidilfitri tahun ini memberi seribu satu makna buat ibu tunggal sembilan anak di Kampung Wa Baru di Hulu Dungun di sini, apabila menerima sebuah rumah baru menerusi projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Noor Raidah Halib, 38, yang bekerja sebagai buruh ladang amat bersyukur dan atas keprihatinan TNB dalam membantunya sekeluarga yang sebelum ini menumpang di rumah bapanya Halib Ahmad, 67, bersama-sama tiga lagi keluarga adik beradiknya.
“Saya memang sangat berterima kasih kepada TNB yang sangat prihatin dengan kesusahan kami sekeluarga, rumah ni memang hadiah yang tak ternilai buat kami sekeluarga sempena hari raya,” katanya.
Beliau ditemui Bernama pada Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Negeri Terengganu 2015 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud baru-baru ini. Turut hadir Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu (Bahagian Pembahagian) Ir Saharenam Mukhtar.
Noor Raidah berkata, apa yang lebih menggembirakannya rumah tiga bilik tidur itu turut dilengkapi perabot seperti sofa, televisyen, meja makan, peti ais dan tiga katil.
“Memang kak tak pernah bermimpi nak ada sebuah rumah yang sangat selesa macam ni ... syukur sangat-sangat, kalau nak buat sendiri memang tak mampulah sebab gaji kak hanya RM900 sebulan, cukup untuk belanja makan anak-anak je. Tujuh daripada sembilan anak kak masih belajar, yang sulung berusia 20 tahun dan paling bongsu berumur tiga tahun,” katanya.
Saharenam berkata, TNB memperuntukkan RM50,000 untuk membina sebuah rumah golongan asnaf daripada hasil duit zakat TNB.
“Untuk tahun ini, bagi Projek Baiti Jannati ini, TNB memperuntukkan Rm2.5 juta dari duit zakat TNB untuk membina 50 buah rumah penerima yang layak di seluruh semenanjung.
“Bagi negeri Terengganu, sebanyak 34 buah rumah telah dibina sejak tahun 2008 dan untuk tahun ini, sebanyak enam penerima yang layak telah dikenal pasti iaitu masing-masing satu di Besut, Kemaman, dan Hulu Terengganu serta tiga di daerah Dungun,” katanya.
Saharenam berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk mengenal pasti golongan asnaf yang layak mendapat bantuan tersebut. - Bernama
18rumah
Dungun: Aidilfitri tahun ini memberi seribu satu makna buat ibu tunggal sembilan anak di Kampung Wa Baru di Hulu Dungun di sini, apabila menerima sebuah rumah baru menerusi projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).