Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

'Doa nak tolong orang termakbul...' [METROTV]

$
0
0
Utama

mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya hanya fikir untuk selamatkan nyawa ibu dan bayi itu sahaja walaupun perlu mengendalikan kes dengan tangan kosong tanpa sebarang peralatan.

"Saya juga bersyukur kerana doa saya setiap hari untuk menolong orang dimakbulkan dan rasa bertuah kerana Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk menolong orang yang dalam kesusahan," kata pensyarah Kolej Kejururawatan Kuantan, Maznah Mat Zain, 46.

Dia adalah individu yang berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita dikenali sebagai Wagini, 34, yang melahirkan bayinya di dalam bas ekspres di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lanchang, Temerloh.

"Saya tidak beritahu sesiapa pun di dalam bas berkenaan yang saya sebenarnya mempunyai Sijil Kebidanan dan ada pengalaman dalam kelahiran bayi sepanjang 11 tahun bergelar jururawat sebelum menjadi pensyarah selama 13 tahun.

"Ini pengalaman yang paling berharga di luar waktu kerja sepanjang kerjaya saya kerana dapat membantu dalam keadaan kecemasan, mempraktikkan apa yang saya ajar dan belajar selama ini dengan sentiasa berpegang kepada moto Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu "Profesionalism, Caring and Team Work", Sedia Membantu," katanya ketika ditemui Harian Metro malam tadi.

Ketika kejadian pada Isnin lalu, dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari tempat tinggalnya di Kuantan, Pahang untuk persediaan menjalani penilaian akhir Sarjana Kejururawatan di Universiti Malaya.

"Saya sentiasa berulang alik sejak tiga tahun lalu untuk menyelesaikan pengajian saya dan kebiasaannya menaiki bas jam 2 pagi dan bukannya 7.45 pagi seperti semasa kejadian kerana kehabisan tiket.

"Jadi saya anggap, Allah sudah aturkan yang saya akan membantu wanita itu melahirkan anaknya walaupun saya terpaksa ketepikan mengenai risiko jangkitan penyakit memandangkan saya tidak tahu rekod perubatan wanita berkenaan.

"Apapun yang penting bagi saya ialah memastikan yang wanita berkenaan selamat dan bayi perempuan itu sihat kerana saya mahu orang ramai melihat profesion jururawat ini sebagai kerjaya yang mulia dan bukan sentiasa mencari silap kami," katanya yang mempunyai enam anak berusia antara 7 dan 21 tahun.

Maznah berkata, penumpang lain pada waktu itu tergamam dan tidak terus membantu kerana kemungkinan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Atas rasa tanggungjawab, saya bantu dia kerana Allah sebab dalam keadaan begitu, ia boleh mengancam nyawa kedua-duanya. Lagipun, saya selalu nasihatkan Jururawat Pelatih supaya selalu menolong orang dalam apa jua keadaan.

"Jadi saya perlu menjadi contoh kepada mereka dan mempraktikkan apa yang saya selalu ucapkan supaya apa yang berlaku ini dapat juga mendidik masyarakat memahami tugas jururawat yang bekerja tidak kira masa walau di mana saja," katanya.

Maznah yang memiliki Diploma Kejururawatan berkata, dia sebenarnya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara ini kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk.

Tetapi kemudian mengakui dirinya yang menyambut bayi berkenaan selepas rakan sekelas sarjananya bercerita mengenai berita itu yang dilaporkan dalam Harian Metro.

"Saya sebenarnya masih terbayang-bayang dan macam tidak percaya yang saya dah kendalikan kelahiran bayi di dalam bas dan dalam keadaan macam tu (tiada sebarang peralatan). Saya harap bayi berkenaan sihat dan teringin berjumpa dengannya jika berpeluang.

"Biarpun pada hari itu saya lewat sedikit untuk menghantar tugasan saya kepada penyelia tetapi saya tidak ralat kerana dapat mencurah bakti kepada wanita berkenaan," katanya yang berasal dari Kuala Perlis dan bergelar jururawat atas permintaan ibu bapa sebelum minat dan cinta terhadap profesion berkenaan terus subur dalam dirinya sehingga kini.

Maznah pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada 2010 ketika berkhidmat sebagai pengajar di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sarawak dan bakal menjalani penilaian akhir sarjana menerusi kajian bertajuk Talasemia dan Genetik Kaunseling, esok.

Dalam kejadian jam 9 pagi Isnin, Maznah dibantu beberapa penumpang lain yang mengangkat Wagini ke tempat duduk hadapan sebelum pemandu memberikan bantal dan kain pelekat selepas bas berkenaan berhenti di tepi jalan.

Selepas Maznah selamat menyambut bayi berkenaan, bas kemudiannya meneruskan perjalanan hingga ke hentian sebelah Lanchang sebelum ambulans tiba dan membawa Wagini serta bayi yang akan dinamakan sebagai Lucy Bastrisya itu menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

mior-3.png

Image: 

Kuala Lumpur: "Saya hanya fikir untuk selamatkan nyawa ibu dan bayi itu sahaja walaupun perlu mengendalikan kes dengan tangan kosong tanpa sebarang peralatan.

Bantu bersalin dalam bas

Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853