Teluk Intan: Tiga remaja dan seorang kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri barangan milik jemaah di Masjid Sultan Idris II pada 23 dan 27 April lalu.
Keempat-empat tertuduh mengaku bersalah dalam prosiding yang dibuat secara tertutup dihadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.
Tertuduh pertama berusia 13 tahun didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa melakukan kesalahan pada 23 April lalu, jam 8.50 malam di Masjid Sultan Idris II di sini, kerana memiliki harta curi sebuah telefon bimbit yang mana tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan memuaskan mengenai pemiliknya.
Bagi tiga lagi tertuduh berusia 12 hingga 14 tahun didakwa secara bersama pada 27 April lalu jam 7.40 petang di bilik solat muslimah masjid itu melakukan pencurian ke atas harta milik seorang jemaah wanita berupa satu beg tangan yang mengandungi satu keping myKad serta myKid, kad ATM, lesen memandu dan sebuah telefon bimbit jenama OPPO bernilai RM500.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Siti Hanum menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing RM200.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Amirul Asyraf Abdul Rasid, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.
05budak
Teluk Intan: Tiga remaja dan seorang kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri barangan milik jemaah di Masjid Sultan Idris II pada 23 dan 27 April lalu.