London: Leicester City memastikan kejuaraan sulung Liga Perdana Inggeris yang menakjubkan tanpa perlu beraksi selepas pasukan tangga kedua Tottenham Hotspur seri 2-2 dengan Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi bagi melakar kejayaan terbesar pasukan bukan pilihan dalam mana-mana sukan.
Leicester bermain dalam divisyen dua hanya dua tahun lalu, hampir tersingkir ke Liga Kejuaraan musim lalu dan memulakan musim ini sebagai pilihan dengan rating 5,000-1 bagi merebut kejuaraan.
Kini buat kali pertama dalam sejarah 132 tahun penubuhannya, Leicester muncul juara Inggeris selepas mendahului tujuh mata di depan Tottenham dengan berbaki dua perlawanan.
Foxes terlepas peluang memastikan kejuaraan Ahad lalu apabila mereka seri 1-1 dengan Manchester United namun juara bertahan Chelsea memastikan parti meraikan kemenangan tidak perlu ditangguh lagi.
Beberapa pemain Leicester berkumpul di rumah penjaring terbanyak kelab dengan 22 gol Jamie Vardy menyaksikan pertemuan Tottenham dengan Chelsea dan pemain pertahanan Christian Fuchs mengepos dalam Twitter rakaman video pemain meraikan kejayaan itu.
Tottenham mesti menang di Chelsea bagi menghidupkan peluang memenangi kejuaraan kali pertama sejak 1961 dan mendahului 2-0 menerusi gol penyerang Harry Kane dan Son Heung Min namun Chelsea bangkit pada babak kedua memaksa seri dalam pertembungan jiran setempat yang sengit dan tegang.
Pertahanan tengah Gary Cahill merapatkan kedudukan buat Chelsea pada awal babak kedua sebelum Eden Hazard menjaringkan gol penyamaan. Gol Hazard hampir genap setahun sejak jaringannya membantu Chelsea merangkul kejuaraan.
Leicester akan menerima trofi Liga Perdana Inggeris apabila mereka menanti kunjungan Everton di Stadium King Power, Sabtu ini. - AP
rtleicester
epltable
London: Leicester City memastikan kejuaraan sulung Liga Perdana Inggeris yang menakjubkan tanpa perlu beraksi selepas pasukan tangga kedua Tottenham Hotspur seri 2-2 dengan Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi bagi melakar kejayaan terbesar pasukan bukan pilihan dalam mana-mana sukan.