Nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Ipoh: "Daripada beri koleksi barangan saya ini percuma, lebih baik saya jual dengan harga berpatutan dan salurkan hasil jualan itu kepada mereka yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan.”
Demikian kata Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida yang yakin dapat menjual koleksi barangan kesayangannya itu.
Katanya, antara barangan terbabit adalah dua koleksi beg tangan dan kasut berjenama terkenal Louis Vuitton (LV) , kacamata dengan jenama Channel dan Chopard serta baju kurung kesayangannya.
"Semua barangan saya beli dulu harganya lebih RM30,000 keseluruhan. Kasut itu saya beli di Hong Kong, tiga tahun lalu, RM3,800 dan saya hanya ingin menjualnya RM2,500.
“Beg LV saya beli di Paris mencecah RM9,000 manakala satu lagi saya beli pada RM6,000,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Meru Height, Ipoh.
Menurutnya, kesemua barangan itu adalah koleksi kesayangannya.
“Saya juga ingin menjual koleksi baju kegemaran RM1,500. Saya selalu membelek dan melihat barangan ini tapi tidak pernah memakainya sejak dibeli beberapa tahun lalu. Orang yang dapat membelinya, saya kategorikan sebagai insan paling bertuah," katanya.
Menurutnya, dia masih lagi mencari sesiapa yang mahu membeli koleksi barangannya itu dan mahu masyarakat bersama-sama menjayakan misinya dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik.
"Kepada golongan itu diharapkan dapat bersabar kerana rezeki untuk mereka akan tiba dalam masa terdekat manakala bagi mereka yang berkemampuan marilah bersama membantu golongan yang amat memerlukan,” katanya.
Dr Vida berkata, beliau bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT dan dengan itu berhajat untuk melakukan kebajikan.
“Tumpuan saya adalah untuk membantu anak yatim dan golongan Asnaf. Terima kasih kepada Harian Metro yang membantu menggerakkan hasrat saya ini. InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar," katanya.
vidavida
Ipoh: "Daripada beri koleksi barangan saya ini percuma, lebih baik saya jual dengan harga berpatutan dan salurkan hasil jualan itu kepada mereka yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan.”