apendyhmetro.com.my
Ipoh: Tangan kanan pelajar lelaki putus selepas terkena kipas pengudaraan di ladang ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Tanjung Lengkong, Sungai Bayor, Selama, Isnin lalu.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 14, turut patah tangan dan kaki kiri serta retak tempurung kepala.
Bapa mangsa, Mohd Rosdi Mat Shohor, 46, ketika dihubungi berkata, anak keduanya daripada tujuh beradik itu dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping dan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa untuk usaha menyambung kembali tangannya, namun pihak pakar memaklumkan anggota berkenaan sudah tidak boleh disambung semula.
"Apa yang saya tahu dia ke reban ayam terbabit kerana menemankan rakan sekolahnya yang juga anak kepada pemilik reban berkenaan.
"Saya difahamkan ketika kejadian keadaan hujan lebat, namun setakat ini tidak pasti bagaimana Mohd Syafiq boleh disedut oleh kipas berkenaan.
"Anak saya tidak bekerja di reban ayam berkenaan tetapi selalu bertemu dengan rakannya serta sering menolong menangkap ayam dan diberikan sedikit duit poket," katanya yang kini berada bersama anaknya di HKL.
Menurutnya, dia tidak mengetahui punca sebenar kemalangan menimpa anak kedua dari tujuh beradik itu kerana Mohd Syafiq masih mengalami trauma sebaik menyedari tangan kanannya hilang serta tidak dapat menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
"Pada hari kejadian dia dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping dan pada Selasa doktor mengambil keputusan memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur.
"Tangan kanannya bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan saya sudah kebumikan tangan terbabit di rumah bapa saudaranya di Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu," katanya.
Mohd Rosdi berkata, keadaan anaknya itu kini sering meracau apabila menyedari tangan kanannya sudah tiada, namun dia sudah ditempatkan di wad biasa.
"Buat masa ini ramai pihak yang menghubungi kami dan pihak sekolah juga sudah mengetahui mengenai kejadian ini," katanya.
27416apen1
Ipoh: Tangan kanan pelajar lelaki putus selepas terkena kipas pengudaraan di ladang ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Tanjung Lengkong, Sungai Bayor, Selama, Isnin lalu.