Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Laksa Sarawak jadi tumpuan

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

Kuching: Bahang pilihan raya yang makin terasa membawa rezeki melimpah kepada peniaga laksa Sarawak yang enak dan popular di negeri ini.

Peniaga laksa di kebanyakan tempat di bandar ini tidak menang tangan bagi menampung pengunjung yang membanjiri gerai sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagi merasai keenakan ‘breakfast of the Gods’ - seperti yang digambarkan oleh cef kembara terkenal di dunia, Anthony Bourdain - orang ramai ke Kafe Choon Hui di Jalan Ban Hock yang mana aroma rempah-ratus menggamit deria bau daripada jauh lagi sebelum orang ramai beratur bagi mendapatkan sarapan enak itu.

Chie Yat Ming, pemilik gerai laksa Sarawak di kafe itu berkata menyediakan hidangan kegemaran rakyat tempatan itu bukanlah tugas yang mudah.

Beliau yang masih cergas di usia 58 tahun itu bangun seawal 3 pagi setiap hari untuk menyediakan bahan-bahannya, merendam mihun dalam air suam sebelum memasak pes berempah itu dengan api sederhana kira-kira dua jam, sambil sentiasa mengacau pes itu.

Daging ayam yang sudah dimasak perlu diasingkan tulangnya dan dicarik-carik untuk diletakkan di atas laksa, sebelum beliau ke Pasar Taman Kenyalang untuk membeli udang segar dan santan.

Beliau kemudian terus ke kafe untuk memulakan perniagaan pada kira-kira 7 pagi. Menjelang kira-kira 11 pagi, laksanya habis dijual.

“Sukar untuk menyediakan semangkuk laksa. Saya menyiapkan bahannya sendiri. Sebab itu saya buat hanya dalam kuantiti yang kecil. Saya fikir untuk bersara tetapi tiada seorang pun anggota keluarga termasuk kakak ipar, berminat untuk mengambil alih gerai ini,” katanya.

Seperti penjual laksa Sarawak yang lain, Chie juga mempunyai resepinya sendiri dan bahan-bahan rahsia.

Satu lagi gerai laksa terkenal tidak jauh dari kawasan itu ialah Laksa Sarawak Ambal yang mana pemiliknya, Nor Ryezan Raduan menggunakan ‘ambal’ (siput buluh) memandangkan hidupan laut itu sangat popular di sini.

“Jualan meningkat sejak pengumuman pilihan raya Sarawak, saya perlu memesan lebih banyak ambal,” kata peniaga berusia 31 tahun yang gerainya terletak di Warung Nusantara di iCom Square di Jalan Pending.

Laksa Sarawak yang semakin popular itu melahirkan satu industri yang mengeluarkan pes kurang pedas yang diperbuat daripada lebih satu dozen rempah-ratus termasuk serai, bawang merah, cili merah, jintah putih, bunga cengkih, buah pala, buah pelaga, biji ketumbar dan lengkuas.

Pes berharga RM7 sepeket itu dijual di seluruh pasar raya dan Bazar Utama berdekatan Kuching Waterfront.

Bourdain, yang kembali ke kafe Choon Hui Mei, tahun lalu, selepas sedekad membuat penggambaran untuk program pengembaraan CNN, ‘Parts Unknown’, memilih laksa Sarawak sebagai 10 senarai makanan untuk usaha pasaran makanannya di New York.

Ditanya sama ada laksa terkenal itu boleh dibuat serupa di New York, Chie berkata: “Itu akan menjadi sukar kerana susah untuk mendapatkan bahan yang sama. Saya ingat seorang ‘ang moh’ (warga asing berkulit putih) yang datang dan rakamkan saya yang sedang menyediakan laksa.”

Nampaknya, Bourdain perlu kembali ke Kuching sekiranya beliau sekali lagi ingin menikmati ‘Breakfast of the Gods.’

laksaa

Image: 

Kuching: Bahang pilihan raya yang makin terasa membawa rezeki melimpah kepada peniaga laksa Sarawak yang enak dan popular di negeri ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853