Kuala Lumpur: “Sepanjang hidup menjadi ‘wanita’, saya lalai dan lupa kepada Allah SWT, malah, meninggalkan solat.
“Saya sebenarnya rindu untuk solat berjemaah, mahu keluar berdakwah dan ke Makkah mengerjakan umrah,” kata Mohd Safiuddin Ilias, 22, jutawan muda yang menjadi perhatian selepas secara terbuka mendedahkan di laman sosial Facebook mahu kembali ke pangkal jalan.
Dia menjalani pembedahan membuang implan payudara pada Sabtu lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dibenarkan keluar hari ini, sekali gus nekad untuk kembali kepada fitrah asalnya, iaitu menjadi lelaki sejati.
Menurutnya, dia tidak kisah dikecam terutama oleh mak nyah kerana dia sudah biasa.
“Saya tidak kisah jika terus dikecam. Jadi lelaki berpewatakan lembut pun kena kutuk. saya dah biasa menerima kecaman,” katanya.
Safiuddin yang nekad untuk berubah pada Disember tahun lalu berkata, keputusannya itu membuatkan dia lebih tenang.
“Ini tindakan yang saya ambil selepas tiga tahun bergelumang dalam dunia yang penuh kegelapan. Saya tahu akan ada golongan mak nyah yang anggap saya munafik tetapi semuanya kuasa Allah.
“Saya tidak akan menyesal, malah, berasa seronok kerana tiada lagi beban yang saya tanggung,” katanya yang melakukan pembedahan implan payudara di Hat Yai, Thailand pada Disember 2012.
Sudah hilang seksa diri, kata Safiuddin yang dulunya popular dengan panggilan Sofea Putih, wang menguasainya sehingga membawa dia ke jalan salah.
“Dengan duit yang banyak, saya hilang arah dan sanggup membuat implan payudara. Saya tidak kisah, asalkan badan menyerupai wanita sedangkan pada zahirnya saya dilahirkan sebagai lelaki.
“Sekarang saya mahu fokus kepada perniagaan produk kecantikkan yang dijalankan sejak 2012 dan menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta tahun ini,” kata anak kelahiran FELDA Lakum, Pahang ini.
Menurutnya, dia berharap orang ramai terus mendoakannya supaya terus istiqamah dalam meneruskan kehidupan selepas membuat perubahan besar dalam hidupnya.
ubah.png
Kuala Lumpur: “Sepanjang hidup menjadi ‘wanita’, saya lalai dan lupa kepada Allah SWT, malah, meninggalkan solat.