Kuala Selangor: “Ibu, aduh sakit, tolong, tolong", rintihan terakhir dua anak yang sukar dilupakan si ibu Zuriyana Marsunit, 38, sebelum kedua-dua anaknya itu maut dalam kebakaran rumah mereka di Jalan Batu 4, Kampung Batu 4, Ijok awal pagi tadi namun tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong.
Hatinya luluh kerana usahanya untuk memasuki bilik dua anaknya yang sedang tidur itu bagi menyelamatkan mereka gagal kerana api terlalu marak.
Ibu tunggal itu turut melecur muka dan tangan akibat kebakaran kira-kira 4.20 pagi yang pihak polis berkata siasatan awal mendapati berpunca daripada litar pintas.
"Saya cuba masuk melalui pintu bilik anak tetapi api sangat marak. Saya pergi pula ke tingkap bilik mereka, saya jerit sambil mengetuk tingkap berkali-kali dan memanggil mereka keluar.
“Namun saya hanya mendengar rintihan kesakitan mereka. Sebak hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tersangat sedih tidak dapat menolong mereka," kata Zuriyana dengan linangan air mata ketika ditemui di sini.
Dalam kebakaran itu, dua beradik berkenaan, Muhammad Danish Irfan Mohamad Azmi, 15, dan Muhammad Darwisy Israk Mohamad Azmi, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Musa Bestari Jaya ditemui rentung.
Bercerita lanjut, Zuriyana berkata, kali terakhir beliau bertemu dua anaknya itu awal pagi semalam ketika mengejutkan mereka untuk ke sekolah sebelum keluar bekerja di Pelabuhan Klang.
"Adik (Muhammad Darwisy Israk) ada minta duit lebih kerana nak buat kerja di sekolah. Itulah permintaan terakhirnya daripada saya," katanya.
Sementara itu nenek adik-beradik berkenaan Sainah Saidi, 71, berkata Zuriyana berusaha beberapa kali untuk menyelamat anak-anaknya tetapi terhalang oleh api yang marak.
"Saya tersedar daripada tidur sebab dengar Ana (Zuriyana) jerit panggil saya suruh keluar dari bilik. Bila saya buka pintu bilik, saya nampak api merah menyala dan sangat besar.
"Nasib baik dalam keadaan panik itu saya teringat nak buka kunci pintu bilik untuk selamat diri," ujarnya.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Badong kira-kira 11 pagi tadi.
ibuu.jpg
Kuala Selangor: “Ibu, aduh sakit, tolong, tolong", rintihan terakhir dua anak yang sukar dilupakan si ibu Zuriyana Marsunit, 38, sebelum kedua-dua anaknya itu maut dalam kebakaran rumah mereka di Jalan Batu 4, Kampung Batu 4, Ijok awal pagi tadi namun tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong.