Mersing: Wanita maut, manakala dua anaknya termasuk bayi berusia enam bulan parah apabila kereta Proton Waja dipandunya bertembung kereta Mazda di Jalan Kampung Ariffin dekat Endau, 7.50 malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia lingkungan 30-an bersama anak perempuan berusia lapan tahun dan bayi lelaki terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung berkenaan selepas melawat ibu bapanya di Taman Rumah Murah, Endau ,di sini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Endau ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan tiba-tiba sebuah kereta Mazda cuba memintas empat kenderaan lain namun gagal lalu bertembung Proton Waja dipandu mangsa.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada 8 malam dan satu jentera membabitkan 10 anggota dan pegawai ke lokasi.
"Apabila tiba kira-kira dua minit kemudian, pasukan diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Sulong Khaled menemui tiga beranak itu dalam keadaan parah dengan kaki wanita itu tersepit di tempat pemandu manakala dua anaknya berjaya dikeluarkan orang awam.
"Kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Endau untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya.
Menurutnya, wanita itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik manakala dua anaknya kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Mersing.
Katanya, pemandu kereta Mazda dipercayai remaja lelaki dikatakan patah kaki kanan.
endau.png
Mersing: Wanita maut, manakala dua anaknya termasuk bayi berusia enam bulan parah apabila kereta Proton Waja dipandunya bertembung kereta Mazda di Jalan Kampung Ariffin dekat Endau, 7.50 malam tadi.