Subang Jaya: "Walaupun nampak jahil, biar dalam hati tetap ada Allah SWT," kata Nik Mohd Zaidi Abdullah ,37, yang videonya membaca al-Quran ketika mencuba sistem audio di pejabat di Subang Jaya ‘viral’ di laman sosial Facebook (FB) sejak Ahad lalu.
Alunan suara bapa kepada dua anak itu yang juga juru elektrik nyata ‘memukau’ ramai sehingga mendapat pujian ‘netizen’ yang mendengar bacaannya itu.
Antara komen diterima, ‘Sedap suara dia mengaji Al Quran, teringin nak macam itu’, ‘Tidak puas dengar, ulang banyak kali’ dan ‘macam bacaan imam Arab’.
Walaupun kelihatan ‘rugged’, dia sebenarnya seorang huffaz, malah berkongsi ilmu agama bersama rakan dan penduduk di sekitar kawasan rumahnya di Apartmen Seri Mutiara, Putra Height, di sini, serta mengajar mengaji ketika waktu lapang.
"Saya bukan seorang yang mahir mengenai hal agama dan masih mempelajari cara membaca al-Quran dengan ustaz.
"Ilmu Allah yang kita dapat, kita jangan kedekut menyampaikannya. Saya sentiasa berkongsi ilmu dengan yang lain," katanya yang menjadi bilal di masjid berhampiran kediamannya.
Menurutnya, dia menjadikan beberapa imam di Makkah sebagai panduan untuk membantu dirinya memperbetulkan lagi cara bacaan al-Quran
"Saya rekod, dan mendengar semula sebelum saya bandingkan kelemahan saya dalam setiap bacaan daripada iman terkenal seperti Abdul Rahman Al- Sudais dan Syeikh Abdul Hamid Kudus.
"Setiap bacaan, saya belajar dan berusaha untuk memahami maksudnya supaya lebih menghayatinya, " katanya yang fasih berbahasa Arab.
Nik Mohd Zaidi berkata, dulu dia bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Falahiah di Kuala Krai, Kelantan.
"Saya pernah ditugaskan untuk melaungkan azan di sekolah. Saya masih mempelajari ilmu agama sehingga kini untuk mengisi masa lapang saya.
"Kadang kala saya bertarannum ketika memandu kerana ketika itu saya bersendirian dan melaungkan ayat suci al-Quran sekuat hati membuatkan saya rasa puas,” katanya.
baca.png
Subang Jaya: "Walaupun nampak jahil, biar dalam hati tetap ada Allah SWT," kata Nik Mohd Zaidi Abdullah ,37, yang videonya membaca al-Quran ketika mencuba sistem audio di pejabat di Subang Jaya ‘viral’ di laman sosial Facebook (FB) sejak Ahad lalu.