Shah Alam: Selangor akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam buat kali pertama musim ini pada 5 April depan menentang Kedah bagi saingan Liga Super selepas kerja naik taraf stadium itu termasuk menggantikan rumput baru selesai.
Menurut Pengurus Pasukan Selangor Amirudin Shari, kerja menanam rumput jenis 'cow grass' sedang dijalankan namun beliau percaya gelanggang keramat skuad Red Giants akan boleh digunakan semula mengikut jadual selepas ia ditutup sejak Disember tahun lalu.
"Padang di Stadium Shah Alam sedang digantikan dengan rumput jenis cow grass kerana rumput jenis ini paling tahan digunakan di stadium-stadium di Malaysia termasuk di Stadium Larkin.
"Menjelang 18 atau 19 Mac ini, kerja-kerja menanam rumput ini akan selesai jadi selepas tiga hari, akar rumput ini akan mula kuat jadi saya yakin Selangor akan boleh bermain pada 5 April di Stadium Shah Alam bagi aksi melawan Kedah dalam Liga Super," katanya ditemui selepas meninjau keadaan padang di Stadium Shah Alam pagi tadi.
Amirudin berkata, kerja untuk baik pulih kemudahan dan padang stadium itu menelan belanja sebanyak RM200,000 dan selepas ini mereka bercadang untuk menambah pencahayaan lampu stadium dari 1200 lux kepada 2000 lux.
Penutupan Stadium Shah Alam menyaksikan Selangor yang kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 10 mata terpaksa beraksi empat kali di gelanggang lawan serta sekali di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang sementara mereka.
st2
Shah Alam: Selangor akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam buat kali pertama musim ini pada 5 April depan menentang Kedah bagi saingan Liga Super selepas kerja naik taraf stadium itu termasuk menggantikan rumput baru selesai.