Gua Musang: Jumlah kehadiran murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di sini, meningkat kepada 121 orang sejak dua minggu lalu berbanding 110 sebelum ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah, berkata pertambahan jumlah murid itu susulan sebelas murid dari Kampung Gawin melaporkan diri, awal Februari lalu.
Katanya, usaha memujuk baki 66 murid masih giat dijalankan untuk memastikan pelajaran mereka tidak tercicir.
"Kehadiran sebelas murid ini hasil gerak kerja kita yang sentiasa turun padang untuk memujuk ibu bapa menghantar anak ke sekolah.
"Saya mengambil kesempatan memohon ibu bapa supaya melupakan peristiwa lalu (tujuh murid hilang) kerana banyak perubahan dibuat pihak sekolah sebagai jaminan keselamatan anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) SK Tohoi, di sini, hari ini.
Mesyuarat disempurnakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ab Aziz berkata, berdasarkan rekod keseluruhan 187 murid sepatutnya melaporkan diri untuk memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari lalu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid Orang Asli hilang dari asrama.
Selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan dua murid ditemui selamat manakala empat lagi ditemui mati dan seorang lagi masih hilang sehingga kini.
tohoi
Gua Musang: Jumlah kehadiran murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di sini, meningkat kepada 121 orang sejak dua minggu lalu berbanding 110 sebelum ini.