Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan enam sebatan terhadap lelaki bergelar 'Ustaz Kasanova' atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah.
Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Razis Ismail, 34, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dalam keputusannya, Hakim Nassir berkata, perbuatan yang dilakukan oleh tertuduh adalah berat dan menyalahi hukum syarak kerana ia membabitkan hukum Allah.
"Ketika diberi peluang untuk merayu tertuduh hanya meminta hukuman diringankan dan mendakwa sudah insaf.
"Bagaimanapun mahkamah mendapati tertuduh tidak menunjukkan sebarabg tanda keinsafan. Mahkamah berharap hukuman ini dapat menyedarkan, pengajaran dan memberi keinsafan kepada tertuduh atas perbuatannya," katanya.
Mohd Razis didakwa melakukan persetubuhan luar nikah dengan wanita berumur 40 tahun sehingga melahirkan anak.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hotel di sini antara Mac hingga Mei 2012 mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Sementara itu bagi lima kes mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Rendah Syariah menetapkan 14 Mac ini untuk keputusan.
HQ070316MS012
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan enam sebatan terhadap lelaki bergelar 'Ustaz Kasanova' atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah.